Thursday, 8 November 2012

Peribahasa - Harapkan pagar, pagar makan padi.

Assalamualaikum rakan-rakan.

Hari ini sekali lagi kita belajar pasal peribahasa. Tentu anda sudah selalu sangat mendengar peribahasa ini :

"Harapkan pagar, pagar makan padi"

Saya mendengar peribahasa ini sejak berada di sekolah rendah lagi. Walaupun agak pelik mendengarnya, namun saya tidak pernah mempunyai inisiatif untuk bertanya kepada guru saya. Pagar makan padi? Pagar itu bukankah benda yang tidak hidup? Mengapa dikatakan makan padi pula. Mungkin hanya digunakan untuk peribahasa yang melambangkan pagar yang sepatutnya mengawasi orang masuk ke kawasan padi itu, telah merosakkan padi tersebut. Itulah kata-kata yang berjaya mempositifkan minda saya setiap kali saya tertanya-tanya tentang peibahasa ini. 

Rupa-rupanya, setelah sekian lama saya membelek buku peribahasa lama koleksi ibu, saya menjumpai peribahasa tersebut dalam tulisan jawi. Buku itu cuba menjelaskan bahawa 'pagar' yang dimaksudkan itu sebenarnya adalah perkataan 'pegar' iaitu sejenis burung yang dibela untuk menjaga dan menghalau unggas yang merosakkan hasil tanaman tersebut. Perkataan Jawi yang dirumikan itu menerima pemurnian dan generasi baru membacanya sebagai 'pagar', bukan lagi 'pegar'. Barulah saya faham mengapa pagar boleh makan padi! :D 


Inilah burung pegar. Burung ini akan menghalau haiwan perosak yang mengganggu tanaman di kawasannya seperti tikus, burung kecil, balalang dan lain-lain. 

Bahasa ROJAK !

Salam

Hari ini saya ingin membuat perkongsian tentang bahasa rojak. Bahasa rojak sangat gemar digunakan oleh semua golongan terutamanya pelajar. Bahasa rojak ini dicampur penggunaan bahasa Melayu, dan juga bahasa Inggeris. Terdapat juga yang menyampurkan unsur bahasa lain seperti bahasa Tamil dan Arab. Mereka yang menggunakan bahasa rojak mungkin menganggap cara ini lebih senang utuk diujarkan dan mungkin juga maksudnya dikatakan lebih cepat sampai kepada pendengarnya. Namun, bahasa rojak ini tetap memberi kesan kepada bahasa ibunda kita kerana pelajar menjadi tidak mahir untuk membina ayat yang baik dan lengkap. 


Bahasa rojak bukan sahaja mempengaruhi pelajar malah guru jugak turut terkena wabak ini. Apabila guru sendiri yang mengiktiraf bahasa rojak ini digunakan di sekolah, maka tiada alasanlah untuk pelajar terus-terusan memartabatkan bahasa rojak lebih daripada bahasa ibunda sendiri. Betul tak?  Tepuk dada, tanya selera. 


Mereka yang bekerja juga gagal membiasakan diri mereka dengan bahasa yang betul menyebabkan kualiti perkhidmatan mereka turut diragui dalam menjaga bahasa ibunda sendiri. 


Selain itu, pandangan masyarakat Melayu itu sendiri terhadap bahasa ibunda turut memainkan peranan. Kebanyakan mereka tidak yakin dengan kebolehan bahasa Melayu dan masih menganggap bahasa Inggeris lebih maju dan sesuai digunakan dalam era moden ini. 


Oleh itu, pada pendapat saya, wabak bahasa rojak ini sangat susah untuk diselamatkan. Kita mungkin akan kehilangan bahasa ibunda dan tidak mustahil juga bahasa kebangsaan akan digantikan dengan bahasa Inggeris suatu hari nanti. Kitalah yang memainkan peranan untuk terus memastikan bahasa ibunda kita terpelihara dan terus dimartabatkan baik daripada peringkat pelajar, sewaktu di alam pekerjaan dan juga dalam organisasi keluarga. Jika bukan kita yang mendukung bahasa kita sendiri, siapa lagi? 

Tuesday, 6 November 2012

Terperdaya atau tepedaya?

Hari ini aku menjumpai satu perkataan aneh dalam majalah. Perkataan ini membuatkan aku terfikir malah berasa sangsi pula sama ada betul atau pun salah ejaannya. Oleh itu aku segera mencari kebenarannya sebaik aku pulang ke rumah.

Perkataan terpedaya jika dirujuk dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, muka surat 321, berasal daripada kata dasar 'daya' yang bermaksud kekuatan, tenaga, keupayaan dan kemampuan. Maksud kedua perkataan daya ialah akal,ikhtiar, jalan (untuk sesuatu). Perkataan 'daya' juga membawa maksud muslihat atau tipu.

Berikut mrupakan maksud perkataan 'daya' yang berlainan bentuk seperti yang terdapat dalam Kamus Dewan Edisi Keempat ;

* daya 1 :            kekuatan, tenaga,kemampuan (contoh : daya pengeluaran)
* daya 2 :            Akal, ikhtiar, jalan (contoh : hendak seribu daya)
* daya 3 :            muslihat, tipu (contoh : tipu daya )
* memperdayai :  Menipu
* mendayai :        menipu mempengaruhi
* terdaya :           termampu
* terperdaya :      terkena tipu daya
* kedayaan :        kebolehan membuat sesuatu

Sebenarnya, perkataan 'terpedaya' adalah tidak wujud dalam helaian muka surat kamus rujukan tersebut. Perkataan  yang ada ialah 'terperdaya' iaitu kata dasar 'daya' digunakan bersama dengan imbuhan 'ter-' dan juga 'per-'.

Mari belajar peribahasa :D


Tentu  semua pernah mendengar perumpamaan ini bukan? Seperti melepaskan batuk di tangga - yang membawa maksud orang yang membuat kerja dengan tidak sempurna atau hanya mengambil syarat atau dengan kata lain, membuat kerja secara tidak bersungguh-sungguh. Perumpamaan ini boleh disamakan dengan perumpamaan "hangat-hangat tahi ayam",  dipegang panas dicium jangan.


Namun begitu, apakah yang terbayang di kepala anda saat menggunakan peribahasa ini? Semasa saya kecil dahulu, saya membayangkan bahawa, seseorang yang menaiki atau menuruni tangga yang kemudiannya melepaskan batuk di tengah tangga? Dan, pernah juga terbayang pada kotak fikir saya, kalau mahu batuk, mana boleh batuk di tangga, nanti jatuh. Ini yang terlintas di kepala lewat mengenali dan diajarkan peribahasa-peribahasa dalam bahasa ibunda tercinta ini sewaktu saya di sekolah rendah dahulu. Acap kali terasa seperti ada yang tidak kena antara bayangan di kepala dan maksud yang dibawa peribahasa tersebut. 


Sebenarnya, yang dimaksudkan dengan "batuk" itu bukanlah melepaskan batuk "uhuk..uhuk" tetapi melepaskan batok. "Batok" ialah kata pinjaman daripada bahasa Jawa yang membawa maksud "tempurung", iaitu pencedok air yang diperbuat daripada tempurung yang digunakan pada zaman dahulu kala di rumah datuk nenek kita untuk mencedok air di dalam tempayan buat membasuh kaki sebelum naik ke rumah. Perubahan ejaan jawi kepada rumi menyebabkan pengecualian pola keselarasan vokal yang terpakai pada "batok" turut bertukar kepada "batuk". Hal ini menjadikan ramai golongan muda tidak tahu apa sebenarnya batok yang dimaksudkan dalam perumpamaan ini.



Dalam peribahasa ini, sama ada membuat kerja secara tidak bersungguh-sungguh atau tidak boleh dilihat apabila kita menggunakan batok tersebut. Kita sepatutnya meletakkannya semula di dalam tempayan atau di atas penutup tempayan dan bukan hanya ditinggalkan di atas tangga begitu sahaja, atau dilemparkan sahaja dari atas tangga. Maksud jelasnya ialah kita tidak menyelesaikan kerja dengan habis sempurna. 


.
Tetapi, perlukah kita menukarkannya kepada ejaan "batok"? Mengikut pakar bahasa, gunakanlah yang sedia ada, kekalkanlah penggunaan kata "batuk" sebab telah lazim digunakan. Yang penting kita tahu asal usul makna kata tersebut.

Monday, 5 November 2012

Kata-kata Imam Al-Ghazali

Assalamualaikum.

Hari ini saya ingin berkongsi satu cerita yang baru saya terbaca tadi. Cerita ini mengisahkan tentang Imam Al-Ghazali dengan anak-anak muridnya. Pada suatu hari, Imam Al-Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya lalu beliau bertanya ;

" Apakah yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini?"
"Orang tua" 
"Guru"
"Teman"
 Jawab anak-anak  muridnya.

  Kemudiannya Imam Al-Ghazali berkata ;

" Semua jawapan itu benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita ialah MATI. Sebab itu janji Allah bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati, seperti yang difirmankan Allah dalam Surah Ali-Imran ayat 185."

Tahukah kita, bahawa sejauh mana kita melangkah, setinggi mana pangkat kita dan di mana pun kita berada, mati itu sentiasa berada disekeliling kita, hanya menunggu isyarat daripada Allah untuk menjemput kita pulang ke tempat asal kita. Sebab itulah kita dituntut untuk tidak membuang masa melakukan perkara sia-sia dalam kehidupan dan memperbanyakkan amal ibadat sebagai persediaan menghadapi mati. 

Melalui cerita ini juga, saya teringat akan kata-kata Sasterawan Negara, Dato' A. Samad Said ;

" Mengapa saya masih di sini memperjuangkan bahasa  dan budaya kita, sedangkan saya sudah cukup tua untuk berada di atas sejadah sahaja? Kerana saya sedar masa saya akan sampai pada bila-bila sahaja dan saya tidak mahu terlepas untuk terus memperjuangkan sehingga perjuangan saya akan disambung oleh orang lain pula."

Beliau masih ingin berbakti kerana beliau tahu kebenaran hak bahasa ibunda dan budaya Melayu untuk dimartabatkan. Oleh itu beliau tidak mahu hidupnya sia-sia dan terus melaungkan hak tersebut agar hidupnya berjasa dan perginya nanti bermaruah. Ini merupakan satu pengajaran dan teladan yang harus dicontohi oleh generasi muda. 


Thursday, 1 November 2012

BERFIKIR :D

Ini gambar yang saya ambil sewaktu dalam seminar motivasi baru-baru ini. Kata penceramah yang bergelar Prof itu, ini merupakan slaid yang sama digunakannya untuk beberapa tahun. Nampaknya, sudah beberapa tahun jugaklah beliau tidak menyedari kesalahan bahasa ini. :D

befikir = berfikir

Aku mengamuk!

Salam.
Hari ini ketika aku sedang menunggu bas, tiba-tiba aku ternampak seorang kelibat pemandu bas yang membuatkan aku mengimbau kenanganku semasa di tahun satu dahulu. Pada hari itu aku bersama kawan baikku manaiki bas untuk ke stesen keretan api untuk menempah tiket pulang ke kampung. Pada mulanya kami ingin menaiki teksi sahaja, namun fikira kami berubah apabila terlihat bas yang bertanda 'KTM, Pejabat Pos, & Damaina'. Kami terus mendapatkan bas tersebut dan bertanya kepada pemandu tersebut.

Aku : Assalamualaikum. Pakc cik, boleh tumpang tanya, bas ni pergi KTM kan?
Pemandu : Apa pak cik pak cik? Jawabnya sambil menjelingku tajam.
Aku : Okaylah. Sorry ye. Encik, bas ni pergi KTM ke? Perkataan encik itu aku tekankan sedikit.
Pemandu : Haah.

Kami pun terus naik tanpa berkata apa-apa. Tiba-tiba pak cik tersebut bersuara. 

Pemandu : Korang ni nama ja nak jadi cikgu, tapi tak reti bahasa. Panggil orang pak cik pakcik. Ingat jual sayur ke. Orang kalau bekerja, semua tu korang kena panggil encik tau. Semua dapat gaji. Bekerja , bukan saja-saja nak bawa bas bagi korang tumpang. 

setelah aku mendengar kata-katanya yang agak kuat dan bernada tinggi itu, aku semakin panas. Nasib naiklah dalam bas itu hanya kami berdua sahaja. Aku berdiam dan hanya mengangguk kata-katanya walaupun darahku sudah meluap-luap ketika itu. 

Pemandu : Cikgu-cikgu yang macam korang ni lah yang akan rosakkan bangsa nanti ! Belajar ja tinggi, tetapi akal cetek. Tak reti nak hormat orang tua. 
Aku : Maaf Encik! Saya tak kisah encik nak marah saya sebab saya terpanggil encik pak cik. Selama ni semua pemandu bas bahasakan diri mereka pak cik ja dengan kami semua. Tapi pak cik tak eloklah tegur saya kasar-kasar macam ni. Pak cik pun harus tunjuk teladan kepada saya macam mana nak hormat orang. 

Aku tahu aku agak kasar. Tetapi pada aku dengan ayat itu sahaja berkesan untuk aku menyedarkan pak cik tersebut bahawa dia sebenarya juga bersifat kurang ajar denganku dengan menghina aku. 

Aku : Cikgu pun manusia juga encik. Ada salah silapnya. Ada buruk baiknya. Kita sesama manusia ni lah kena saling menegur untuk kebaikan. Tambah-tambah Encik lebih tu daripada saya. Enciklah kena didik anak-anak muda untuk beradab dengan baik dengan orag tua-tua. Kalau encik cakap kasar dan hina saya macam ni, bukannya mengundang saya lebih beradab pun, jadi lebih kurang ajar ada la. 

Aku sememangnya geram dengan kata-kata pak cik itu yang memarahi aku tanpa mempedulikan perasaanku. Perkataan 'encik' itu aku tekankan kuat-kuat supaya dia jelas mendengarnya. Pak cik tersebut tidak puas hati. Tetapi dia hanya diam. Bas masih tidak bergerak. Akhirnya aku turun sambil mengucapkan 'terima kasih encik' dengan kuat supaya dia mendengar. Aku dan sahabatku menaiki teksi ke KTM. 

Padaku, memanglah mungkin salahku kerana tersilap memanggilnya pak cik. Tetapi itu bukan alasan untuk dia memarahi aku seperti orang gila. Budi bahasa juga penting untuk menegur seseorang. Bagaimanakah anak-anak muda akan terdidik jika orang tua zaman semuanya menegur anak-anak muda dengan cara sebegitu?