Wednesday, 31 October 2012

Doaku untuk Rohingya :)


MEDAN DERITA ROHINGYA
Nukilan : Nasyatul Husna binti Ramli

Subuh
Sungguh indah disapa azan mendayu
Anak-anak bangun mengejar ilmu
Selepas merasai air tangan ibu
Suami mencari rezeki hidup
Isteri dirumah setia mengasuh
Tanpa jemu

Tetapi sayangnya
Tidur nyenyak telah dijemput sang jaga
Pagi yang damai, hanya mimpi dalam lena
Kampung yang indah pula
Hanya angan-angan yang menyapa
Hidup aman rukun bersama
Kini hanya sebuah lakonan sandiwara
Kerana hakikatnya jiwa Rohingya
Sudah berdekad dalam cengkaman pendusta

Perginya sang suami belum tentu pulangnya
Ibu pelindung anak belum tentu selamatnya
Penghuni rahim belum tentu celiknya
Hidup ini penuh derita
Hanya bimbang menemani bukaan mata
Hanya iman menjadi senjata
Hanya usia menjadi tentera
Hanya tangisan menjadi suara pembela
Anak kecil dibunuh tanpa rela
Anak muda dikerah, disiksa
Warga tua ditawan hartanya

Wahai kufu Rohingya
Tanah ini milik kita
Biar disirami darah panas kita
Biar tersiat daging terputus anggota
Biar hanya tanah menjadi santapan kita
Biar bercerai nyawa dan jiwa
Tanah ini harus dibela
Bangsa ini layak dijaga
Islam ini wajib dipelihara
Dari tangan penghuni neraka

Selamat Hari Raya Aidiladha !



Salam.

Selamat Hari Raya Aidiladha semua. Alhamdulillah kita masih dikurniakan kesempatan untuk menyambut dan menunaikan ibadah korban pada tahun ini.

Sementara tetamu-tetamu di rumahku sudah berkurangan, aku sempat membelek-belek surat khabar hari ini. Terasa lambat pula otak aku memproses maklumat yang aku baca. Inilah penangan cuti panjang kepada pelajar sepertiku. Berkarat otakku dibuatnya!

Aku terhenti pada halaman dua belas yang memaparkan kisah saudara seagama kita yang berada di tanah suci Mekah. Gambar-gambar yang dimuatkan pada halaman tersebut membuatkan aku berminat untuk meneliti lebih lama pada ruangan tersebut. Aku membaca tajuknya, 'Jemaah haji melontar jamrah'. Sebagai seorang remaja yang cetek pengetahuannya, aku terus bertanya kepada ayahku, apakah itu jamrah?

"Jamrah itu tempat orang Islam berkumpul untuk melontar batu-batu kecil. Sebagai tanda benci dan menghalau syaitan daripada merosakkan Islam dan juga kehidupan kita. Ada satu tugu yang berbentuk tiang dan tinggi. Tempat itulah dipanggil jamrah. "
Ujar ayahku. Penjelasan ayah membuatkan aku bingung.

Kalau begitu, bukanlah maksudnya jemaah haji mengangkat tugu syaitan tersebut lalu melontar beramai-ramai. Adakah maksudnya jemaah haji melontar di Jamrah?
Jadi pada pendapatku, melontar jamrah ini boleh dikategorikan sebagai kiasan melompat. Kita terus menyebutnya terus kerana lebih cepat difahami. Contoh kiasan melompat yang lain adalah :

masak nasi

Sedangkan, yang dimasak itu bukanlah lagi nasi, tetapi beras yang masih keras. Beras tersebut diletakkan sedikit air dan dipanaskan hingga menjadi nasi. Namun, kita akan terus menyebut 'masak nasi' berbanding 'masak beras'. Begitu juga dengan melontar jamrah. Bukannya jemaah haji melontar tiang yang berada di Jamrah tersebut, tetapi melontar batu-batu kecil di Jamrah.

Cerita Pak cik :D


Ketika aku berada dalam semester satu, terdapat seorang staf UPSI yang memanggilku dan menunjukkan ke arah papan tanda ini. 

Staf : Adik, adik ni semester berapa? 
Aku : semester satu.
Staf : Program apa ye?
Aku : Bahasa Melayu
Staf : Hah elok sangatlah tu. Ni pak cik nak tanya, cuba adik baca papan tanda ni. Pak cik rasa macam ayat 
         dia tak kena la.

Aku pun membaca papan tanda tersebut berulang kali untuk mendapatkan hujah yang baik untuk aku terangkan kepada pak cik tersebut. 

Aku : Oh, kalau nak ikut ayatnya betul ja ni pak cik. Setahu sayalah. Cuma saya rasa mungkin ayatnya tak 
         gramatis sikit jadi tak sedap sangatlah kita baca. 
Staf : Itulah, pak cik selalu baca, dia tulis 'Dilarang masuk tanpa urusan'
Aku : Yang itu pun betul. 'Dilarang masuk tanpa urusan' atau 'Dilarang masuk jika tiada urusan'. 
         Perkataan 'tanpa' yang menggantikan perkataan 'tiada' itu yang menyebabkan ayat ini jadi tak sedap. 

Pak cik itu mengangguk-anggukkkan kepalanya sambil tersenyum lebar tanda puas hati dengan penjelasanku. Secara jujurnya, aku sendiri hanya 80 peratus yakin dengan penjelasanku. Pada aku, ayatnya betul cuma bunyinya saja tidak gramatis. Jika ayat tersebut salah, takkanlah pensyarah-pensyarah bahasa Melayu di UPSI berdiam diri sahaja. Mereka cukup peka dengan kesalahan bahasa, apatah lagi dalam kawasan UPSI. Sekarang sudah tiga tahun berlalu, papan tanda itu masih di situ dan setiap kali aku memandangnya, aku akan teringatkan pak cik yang sangat prihatin itu. 

Dilarang!


Assalamualaikum.
Hari ini ketika aku melalui jalan belakang ke Tadahan Utara, aku terlihat satu papan tanda yang diletakkan di belakang sudut bangunan E-learning. Papan tanda tersebut mempunyai kesalahan bahasa iaitu kesalahan jarak 'di-' yang sepatutnya didekatkan kerana perkataan 'larang' merupakan kata kerja. Menurut Dewan Bahasa, di- jika digabungkan dengan nama tempat, haruslah dijarakkan. Manakala jika digabungkan dengan kata selain nama tempat seperti kata nama, kata kerja atau kata adjektif, perlulah didekatkan. Contohnya adalah seperti di bawah :

di bawah
di hadapan
di Tanjong Malim
di samping
di sana


disimpan
dimasak
difikirkan 
dibawa

Wednesday, 17 October 2012

Kedah :D



Banting ini mempunyai kesalahan ejaan perkataan telefon. Mungkin pengaruh dialek utara yang banyak menjelaskan bunyi A dalam percakapannya, menyebabkan mereka mengeja perkataan telefon seperti ini.

Tuesday, 16 October 2012

Bahasa Blog


Blog memang terkenal dengan sumber bahan bacaan yang santai untuk mereka yang suka membaca. blog kegemaran saya merupakan blog kepunyaan Fatin Liyana, seorang pelajar perubatan. Melalui blognya, pelbagai ilmu dan topik yang dibincangkan sangat menarik dan juga bahasa yang digunakan sangat mudah dan mesra dengan pembaca. Gambar di atas merupakan keratan blog Fatin Liyana dan contoh bahasa yang digunakan.

update ( bahasa Inggeris ) : mengemaskini
istiqomah (bahasa Arab) : Melakukan sesuatu secara berterusan
naqibah  (bahasa Arab) : pengajar
shopping (bahasa Inggeris) : membeli- belah
tourist attraction (bahasa Inggeris) : tarikan pelancong
compare (bahasa Inggeris ) : bandingkan

Selain menggunakan pelbagai bahasa dialek dalam penulisannya , beliau juga menggunakan bahasa rojak . contohnya :

dok - sedang
tau - tahu
ni - ini
kat - di


You, jom dating?



Percampuran kod selalunya berlaku dalam percakapan hari-hari dan selalunya dipengaruhi oleh individu sekeliling kita, tempat, latar suasana dan tujuan untuk menyampaikan sesuatu. Jarang kita menjumpai sepasang kekasih yang berbual dengan membahasakan diri aku dan kau. Begitu juga apabila keadaan tegang atau sedang bergaduh, jarang penutur membahasakan diri saya dan awak. Percampuran kod ini berlaku untuk merapatkan jurang antara individu dan juga untuk memperlihat sesuatu hubungan itu lebih mesra. Selain campuran bahasa Inggeris, percampuran dialek juga berlaku. Contohnya dapat dilihat daripada sedutan pasangan kekasih dalam teater Tun Mahathir The Musikal di atas. 
Sekian.  

Bahasa Serantau


Salam

Hari ini dalam Seminar Memartabatkan Bahasa Melayu yang dibuat sempena sambutan bulan bahasa kebangsaan, terdapat seorang pensyarah luar yang tampil memberikan pandangan setalah selesai sise perbentangan. Beliau mewakili Universiti Nanyang, Singapura telah menggunakan perkataan "ibu-ibu'' dan ''bapak-bapak'' bagi menyatakan ''tuan-tuan'' dan ''puan-puan''. Perkataan yang digunakan sama seperti bahasa Indonesia. Jadi memang sahlah bahasa Melayu itu merujuk bahasa gabungan negara Malaysia, Indonesia, Brunei dan juga Singapura yang dipanggil negara serantau. Bukan sahaja tertumpu kepada bahasa yang digunakan di Malaysia. Semuanya menggunakan bahasa Melayu cuma disebabkan jarak yang jauh terpisah antara negara-negara ini menyebabkan wujud bahasa yang dipengaruhi dialek dan akhirnya membentuk bahasa Melayu Malaysia, bahasa Melayu Indonesia, bahasa Melayu Brunei dan juga lain-lain lagi. 

Tuesday, 9 October 2012

bin atau Bin?


Tahukah anda? Hampir 80 peratus pelajar tidak mengetahui bahawa bin dan juga binti perlu dieja dengan huruf kecil. Kesalahan ini bukan sahaja dilakukan dalam kalangan pelajar malah dalam surat-surat rasmi yang dikeluarkan oleh pejabat sama ada di kolej kediaman atau pun fakulti.



Sebenarnya, perkataan bin dan binti perlu dieja dengan huruf kecil kerana bin dan binti bukanlah nama khas atau nama orang. Begitu juga dengan rujukan untuk individu yang bukan Islam, perkataan anak lelaki (a/l) atau anak perempuan (a/p) juga perlu ditulis dalam huruf kecil.



Majalah


Hari ini sedang aku membelek-belek majalah sambil menunggu pesanan makanan di sebuah restoran, aku terjumpa pelbagai kesalahan ejaan dalam halaman-halamannya. Antara kesalahan yang aku masih ingat adalah seperti berikut :

Losyen = sepatutnya losen
Kerinting = sepatutnya keriting
Kolestrol = sepatutnya kolesterol
Kota Bahru = Kota Bharu
Mee = sepatutnya mi

Aku menyalin perkataan-perkataan yang aku rasakan salah ejaannya ini. Apabila pulang aku segera menyemak beberapa buku untuk mengesahkan lagi kesalahan ejaannya. Senarai ejaan yang sepatutnya dieja di atas adalah hasil bacaan buku Pedoman Bahasa Melayu, Koleksi Lembar Bahasa keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kata pinjaman berimbuhan hadapan


Perkongsian hari ini adalah mengenai pengimbuhan awalan MeN- pada perkataan pinjaman dan berfokuskan perkataan yang bermula dengan huruf k. Kata pinjaman yang diserap menjadi perkataan bahasa Melayu kebanyakannya dari barat. Apabila menerima imbuhan hadapan MeN-, perkataan tersebut akan kekal ejaannya. Berikut merupakan contoh kata pinjaman yang ditambah dengan imbuhan hadapan MeN- ;
Komersial = Mengkomersialkan
Komunikasi = Mengkomunikasikan
Korporat = Mengkorporatkan
Kredit = Mengkreditkan
Kristal = Mengkristalkan
Kuantiti = Mengkuantitikan
Konsepsi = Mengkonsepsikan


Kesalahan Penulis Cerpen


Kelas Keterampilan Penulis hari ini kami disajikan dengan bacaan sebuah cerpan pelajar yang telah dimuatkan dalam majalah. Pensyarah kami meminta kami menghayati dan melihat contoh garapan idea penulis. Ketika rakanku membaca cerpen tersebut, aku memang agak berminat tambah-tambah lagi melihat susunan ceritanya yang rapi dan tersusun. Namun aku agak terganggu dengan beberapa kesalahan tatabahasa yang dilakukan oleh penulis. Kami beramai-ramai membetulkan kesalahan itu sebaik sahaja kami mengesan sesuatu kesalahan dalam bacaan cerpen tersebut.
...dari ibu dan ayah... = daripada ibu dan ayah
...demi untuk keluarga = demi keluarga
...ketiga-tiga adik-adikku= ketiga-tiga adikku



Nazam



Hari ini dalam kelas Puisi Melayu suasana sungguh riuh-rendah dengan gelagat para pelajar yang segan silu melagukan nazam kerana terlalu malu dan tidak biasa. Nazam marupakan satu medium penyampaian mesej, cerita atau pesanan malalui alunannya sejak zaman dahulu. Nazam merupakan puisi tradisional yang jarang sekali diperdengarkan kepada golongan masyarakat. Oleh itu sepatutnya nazam ini diperkenalkan kepada lapisan muda melalui malis-majlis yang bersifat tradisional seperti khatam Quran, kenduri kahwin, majlis pertunangan dan sebagainya sebagai usaha untuk menghidupkan kembali seni bernazam. 

Santai


Gambar di atas diambil daripada sebuah iklan di papan notis kolej. Pelajar ini cuba menarik perhatian pelanggannya dengan menggunakan perkataan yang santai dan bersahaja. Perkataan ‘murah-murah jer’ membawa maksud ‘harga murah sahaja’. Penggunaan ‘jer’ merupakan bahasa rojak yang digunakan untuk mendekatkan lagi jaraknya dengan pelanggan. Selain itu, perkataan ‘come-come’ merupakan pengaruh bahasa Melayu yang menggunakan perkataan bahasa Inggeris. Dalam bahasa Melayu maksudnya adalah lebih kurang seperti ‘mari-mari’ atau ‘datanglah beramai-ramai’.



Wednesday, 3 October 2012

Ejaan salah?

Hari ini aku dan sahabatku ingin menukar selera untuk makan tengahari di luar. Kami ke pekan untuk mencuba makanan barat di sebuah restoran baru di sana. Dalam perjalanan ke sana, aku terpandang sesuatu yang menarik perhatianku.

Pada pendapatku, mungkin pengaruh bahasa ibunda pemilik klinik ini terlalu kuat sehingga beliau tidak dapat mengenal pasti ejaan yang tepat bagi perkataan klinik. Beliau juga mungkin tidak sensetif dengan penggunaan diksi yang betul kerana bidang bahasa dan bidang perubatan adalah dua bidang yang sangat berbeza.

Tuesday, 2 October 2012

sastera dan lagu


Hari ini aku tidak banyak kelas. Jadi dapatlah aku berehat-rehat dan menyiapkan kerja rumah yang tergendala. Seperti biasa, tidak sah jika aku melakukan kerja rumah tanpa mendengar muzik. Aku memainkan koleksi lagu nasyid kegemaranku. Aku sangat tertarik dengan lirik sebuah lagu. Tajuknya Setanggi Syurga, nyanyian kumpulan nasyid In-Team. Liriknya padaku sangat indah dan mempunyai bahasa yang sangat syahdu apabila bertandang ke telinga. Nilai sastera dalam lirik lagu ini juga agak tinggi sehinggakan pelbagai tafsiran yang keluar dari fikiranku mengenai maksud lagu ini.

Lirik lagu ( Setanggi Syurga – In-Team)
Percaya kata janji-Mu
Kerna kuyakin apa digenggam-Mu
Keharuman setanggi syurga
Bukan kilauan sebilah belati
Tersiksa jiwa merindu
Bagai terkurung di basah tengkujuh
Kewangian aroma bunga
Tak menggugah keteguhan iman
Cinta tak pernah terbunggar dan terlebur
Pada redup renung mata yang menipu
Tuntas ku mendaki
Puncak cinta teragung
Izinkanku melafazkan kata
Bicara hati yang mudah diterjemah
Betapa aku gerun pada redup untuk bernaung
Kerna awan itu rapuh
Bahagia buat mereka yang bertemu cinta yang teragung
Kan membawa ke syurga hakiki dan abadi
cinta tak marak bernyala dan membakar
oleh putih salju yang berguguran
kerna dosa itu lebih hitam dan kelam
ku anyam rindu menjadi hamparan
kerna ku pasti adanya pertemuan
di sana nanti bukti cinta suci dilafazkan
tak bertemu pengucapan.

Bagi aku, tidak lain dan tidak bukan lagu ini bertemakan ketuhanan. Namun caranya diungkapkan sungguh dramatis dan indah. Contohnya, keindahan syurga diibaratkan bauan setanggi yang mengharum, cinta manusia yang melekakan diistilahkan sebagai redup mata yang menipu, cinta manusia yang tidak kekal digambarkan dengan awan yang rapuh, dan perasaan kasih kepada tuhan disebut kuanyam rindu menjadi hamparan. Aku berpendapat bahasa Melayu itu sungguh indah jika disulami dengan bunga-bunga sastera yang indah. Selain itu, penggunaan bahasa yang baik seperti ini turut dapat menarik perhatian pendengar dan memberi maksud yang menyentuh hati kepada pendengar.

kehebatan otak


Hari ini jadual aku begitu padat sehinggakan aku berasa sangat letih apabila pulang ke rumah. Sungguh nikmat rasanya dapat berbaring di atas katilku. Aku dan temanku berbual kosong sambil mengeluh keletihan. Kami berbual dalam dialek utara memandangkan kami berdua berasal dari Kedah.  Tiba-tiba aku terdengar bunyi telefon bimbitku berbunyi. Aku segera bangun lantas mencapai telefon bimbitku yang berada di atas meja. Tertera nama Puan Su. Puan Su merupakan Ketua Pegawai Pentadbiran di kolej yang aku huni. Secara automatiknya percakapanku berubah daripada bahasa dialek negeri kepada bahasa standard. Tiada langsung perkataan dialek negeri yang dikeluarkan oleh mulutku. Aku berbicara dengan formal sekali dengan Puan Su untuk menyelesaikan satu masalah tentang program di kolej.
Selepas aku menamatkan perbualan, aku bersandar lalu berfikir sejenak. Temanku menyapa aku ;

Awatnya hang ni?
Takdak pa aih.

Aku terus berfikir. Sungguh hebat otak yang tuhan ciptakan kepada manusia. Otak mampu mengingat pelbagai perkara termasuklah  peka dengan bahasa yang akan dihasilkan. Apabila terpandang sahaja nama Puan Su, otak aku mungkin telah memproses maklumat.

Pejabat (Puan Su)  =  kakitangan pejabat =  waktu pejabat  =  urusan pejabat   = bahasa formal

Begitu hebatkan otak kiri kita? Penggunaan bahasa yang betul sangat penting untuk menentukan tinggi rendahnya taraf akademik kita.