Hari ini aku tidak
banyak kelas. Jadi dapatlah aku berehat-rehat dan menyiapkan kerja rumah yang
tergendala. Seperti biasa, tidak sah jika aku melakukan kerja rumah tanpa
mendengar muzik. Aku memainkan koleksi lagu nasyid kegemaranku. Aku sangat
tertarik dengan lirik sebuah lagu. Tajuknya Setanggi Syurga, nyanyian kumpulan
nasyid In-Team. Liriknya padaku sangat indah dan mempunyai bahasa yang sangat
syahdu apabila bertandang ke telinga. Nilai sastera dalam lirik lagu ini juga
agak tinggi sehinggakan pelbagai tafsiran yang keluar dari fikiranku mengenai
maksud lagu ini.
Lirik lagu (
Setanggi Syurga – In-Team)
Percaya kata janji-Mu
Kerna kuyakin apa digenggam-Mu
Keharuman setanggi syurga
Bukan kilauan sebilah belati
Tersiksa jiwa merindu
Bagai terkurung di basah tengkujuh
Kewangian aroma bunga
Tak menggugah keteguhan iman
Cinta tak pernah terbunggar dan
terlebur
Pada redup renung mata yang menipu
Tuntas ku mendaki
Puncak cinta teragung
Izinkanku melafazkan kata
Bicara hati yang mudah diterjemah
Betapa aku gerun pada redup untuk
bernaung
Kerna awan itu rapuh
Bahagia buat mereka yang bertemu
cinta yang teragung
Kan membawa ke syurga hakiki dan
abadi
cinta tak marak bernyala dan membakar
oleh putih salju yang berguguran
kerna dosa itu lebih hitam dan kelam
ku anyam rindu menjadi hamparan
kerna ku pasti adanya pertemuan
di sana nanti bukti cinta suci
dilafazkan
tak bertemu pengucapan.
Bagi aku, tidak lain dan tidak bukan
lagu ini bertemakan ketuhanan. Namun caranya diungkapkan sungguh dramatis dan
indah. Contohnya, keindahan syurga diibaratkan bauan setanggi yang mengharum,
cinta manusia yang melekakan diistilahkan sebagai redup mata yang menipu, cinta
manusia yang tidak kekal digambarkan dengan awan yang rapuh, dan perasaan kasih
kepada tuhan disebut kuanyam rindu menjadi hamparan. Aku berpendapat bahasa
Melayu itu sungguh indah jika disulami dengan bunga-bunga sastera yang indah.
Selain itu, penggunaan bahasa yang baik seperti ini turut dapat menarik
perhatian pendengar dan memberi maksud yang menyentuh hati kepada pendengar.