Wednesday, 31 October 2012

Selamat Hari Raya Aidiladha !



Salam.

Selamat Hari Raya Aidiladha semua. Alhamdulillah kita masih dikurniakan kesempatan untuk menyambut dan menunaikan ibadah korban pada tahun ini.

Sementara tetamu-tetamu di rumahku sudah berkurangan, aku sempat membelek-belek surat khabar hari ini. Terasa lambat pula otak aku memproses maklumat yang aku baca. Inilah penangan cuti panjang kepada pelajar sepertiku. Berkarat otakku dibuatnya!

Aku terhenti pada halaman dua belas yang memaparkan kisah saudara seagama kita yang berada di tanah suci Mekah. Gambar-gambar yang dimuatkan pada halaman tersebut membuatkan aku berminat untuk meneliti lebih lama pada ruangan tersebut. Aku membaca tajuknya, 'Jemaah haji melontar jamrah'. Sebagai seorang remaja yang cetek pengetahuannya, aku terus bertanya kepada ayahku, apakah itu jamrah?

"Jamrah itu tempat orang Islam berkumpul untuk melontar batu-batu kecil. Sebagai tanda benci dan menghalau syaitan daripada merosakkan Islam dan juga kehidupan kita. Ada satu tugu yang berbentuk tiang dan tinggi. Tempat itulah dipanggil jamrah. "
Ujar ayahku. Penjelasan ayah membuatkan aku bingung.

Kalau begitu, bukanlah maksudnya jemaah haji mengangkat tugu syaitan tersebut lalu melontar beramai-ramai. Adakah maksudnya jemaah haji melontar di Jamrah?
Jadi pada pendapatku, melontar jamrah ini boleh dikategorikan sebagai kiasan melompat. Kita terus menyebutnya terus kerana lebih cepat difahami. Contoh kiasan melompat yang lain adalah :

masak nasi

Sedangkan, yang dimasak itu bukanlah lagi nasi, tetapi beras yang masih keras. Beras tersebut diletakkan sedikit air dan dipanaskan hingga menjadi nasi. Namun, kita akan terus menyebut 'masak nasi' berbanding 'masak beras'. Begitu juga dengan melontar jamrah. Bukannya jemaah haji melontar tiang yang berada di Jamrah tersebut, tetapi melontar batu-batu kecil di Jamrah.